Monday, 30 May 2011

Perbezaan antara Al-Quran, Hadis Qudsi dan Hadis Nabawi

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ    
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan  salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W,  keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Saudara yang dirahmati Allah,
Marilah sama-sama kita meneliti perbezaan di antara al-Quran, hadis qudsi dan hadis nabawi untuk lebih memahami terhadap sumber penting di dalam ajaran Islam.
Al-Quran :
Al-Quran adalah kalam Allah SWT atau  firman Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. dengan lafaz dan makna, membacanya menjadi suatu ibadah.

Maka kata “kalam” yang termaktub dalam ta’rif tersebut merupakan kelompok jenis yang mencakupi seluruh jenis kalam. Ia disebut kalamullah sebab disandarkan kepada Allah yang menunjukkan secara khas sebagai firman-Nya, bukan kalam (kata-kata) manusia, jin dan malaikat.

Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu apabila Kami telah menyempurnkan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu.” (Surah Al-Qiyamah ayat 17-18)

Maksudnya : “Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (ugama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, Bahawa mereka beroleh pahala Yang besar.”
(Surah Al-Isra’ ayat 9)

Secara khas, al-Quran menjadi nama bagi sebuah kitab yang diturunkan kepada Muhammad SAW. Maka jadilah ia sebagai sebuah identiti. Dan sebutan al-Quran tidak terhad kepada sebuah kitab dengan seluruh kandungannya, tapi termasuklah juga bahagian daripada ayat-ayatnya. Maka jika kalian mendengar satu ayat al-Quran dibaca misalnya, kalian dibenarkan mengatakan bahawa seseorang itu sedang membaca al-Quran.
Hadis:
Hadis adalah sumber ajaran Islam kedua, setelah al-Quran. Dari segi periwayatannya hadis ada yang disampaikan secara mutawatir dan bukan-mutawatir (masyhur dan ahad).
Namun, kenyataannya hadis yang disampaikan secara bukan-mutawatir (masyhur dan ahad) jumlahnya lebih banyak dari pada hadis yang disampaikan secara mutawatir.

Hadis terbagi dua;  iaitu (1) Hadis qudsi dan (2) Hadis nabawi.

Hadis Qudsi

Hadis qudsi adalah hadis yang di sampaikan oleh Rasulullah SAW disandarkan kepada Allah SWT. Maksudnya, Rasulullah SAW meriwayatkannya bahawa itu adalah kalam Allah. Maka, Rasulullah SAW. menjadi perawi kalam Allah ini dengan lafaz dari Rasulullah SAW. sendiri.

Bila seseorang meriwayatkan hadis qudsi, dia meriwayatkannya dari Allah dengan disandarkan kepada Allah dengan mengatakan, “Rasulullah SAW. mengatakan mengenai apa yang diriwayatkannya dari Tuhannya,” atau ia mengatakan, “Rasulullah SAW. mengatakan, ‘Allah SWT telah berfirman atau berfirman Allah SWT’.”

Contoh  :
1. Dari Abu Hurairah, dari Rasulullah SAW mengenai apa yang diriwayatkannya dari Tuhannya, “Tangan Allah itu penuh, tidak dikurangi oleh nafkah, baik di waktu malam mahupun siang hari ….” (Hadis Riwayat Bukhari).

2.Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW berkata, “Allah Taala berfirman, ‘Aku menurut sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya bila dia menyebut-Ku di dalam dirinya, maka Aku pun menyebutnya di dalam diri-Ku. Dan, bila dia menyebut-Ku di kalangan orang banyak, Aku pun menyebutnya di kalangan orang banyak yang lebih baik dari itu …’.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis Nabawi

Menurut istilah, pengertian hadis ialah apa saja yang disandarkan kepada Nabi SAW baik berupa perkataan, perbuatan, persetujuan, mahupun sifat.


Contoh yang berupa
perkataan seperti perkataan Nabi SAW.
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya sahnya amal itu disertai dengan niat. Dan, setiap orang bergantung pada niatnya ….”
(Hadis Riwayat Bukhari).

Contoh yang berupa
perbuatan ialah seperti ajarannya kepada para sahabat mengenai bagaimana cara mengerjakan solat.
Nabi SAW bersabda yang maksudnya : "Solatlah seperti kamu melihat aku solat.”
(Hadis Riwayat Bukhari).

Juga, mengenai bagaimana ia melaksanakan ibadah haji, dalam hal ini Nabi SAW bersabda yang bermaksud :  “Ambillah dariku manasik hajimu.” (Hadis Riwayat Muslim).

Adapun yang berupa
persetujuan adalah seperti ia menyetujui suatu perkara yang dilakukan salah seorang sahabat, baik perkataan ataupun perbuatan; di hadapannya ataupun tidak, tetapi beritanya sampai kepadanya, seperti makanan biawak yang dihidangkan kepadanya.

Dan, persetujuannya dalam satu riwayat, Rasulullah SAW mengutus orang dalam satu peperangan. Orang itu membaca suatu bacaan dalam solat yang diakhiri dengan qul huwallahu ahad. Setelah pulang, mereka menyampaikan hal itu kepada Rasulullah  SAW  lalu Rasulullah SAW  berkata, “Tanyakan kepadanya mengapa ia berbuat demikian?”

Mereka pun menanyakan, dan orang itu menjawab, “Kalimat itu adalah sifat Allah dan aku senang membacanya.” Maka Rasulullah SAW  menjawab, “Katakan kepadanya bahawa Allah pun menyenangi dia.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Yang berupa sifat adalah riwayat seperti bahawa Rasulullah SAW selalu bermuka cerah, berperangai halus dan lembut, tidak keras dan tidak pula kasar, tidak suka berteriak keras, tidak pula berbicara kotor, dan tidak juga suka mencela.
Perbezaan Al-Quran dengan Hadis Qudsi :

Ada beberapa perbezaan antara al-Quran  dengan hadis qudsi, dan yang terpenting adalah sebagai berikut.

1. Al-Quran adalah kalam Allah SWT yang diwahyukan kepada Rasulullah  SAW dengan lafaz-Nya, dan dengan itu pula orang Arab ditentang, tetapi mereka tidak mampu membuat seperti al-Quran itu, atau sepuluh surah yang serupa itu, bahkan satu surah sekalipun. Tentangan itu tetap berlaku, kerana al-Quran adalah mukjizat yang abadi hingga hari kiamat. Adapun hadis qudsi tidak untuk menentang dan tidak pula untuk mukjizat.

2. Al-Quran hanya dinisbahkan kepada Allah, sehingga dikatakan Allah SWT berfirman. Adapun hadis qudsi, seperti telah dijelaskan di atas, terkadang diriwayatkan dengan disandarkan kepada Allah, sehingga nisbah hadis qudsi itu kepada Allah adalah nisbah dibuatkan. Maka dikatakan, Allah SWT telah berfirman atau Allah SWT berfirman. Dan, terkadang pula diriwayatkan dengan disandarkan kepada Rasulullah SAW tetapi nisbahnya adalah nisbah kabar, kerana Nabi menyampaikan hadis itu dari Allah. SWT Maka, dikatakan Rasulullah SAW  mengatakan apa yang diriwayatkan dari Tuhannya.

3. Seluruh isi al-Quran dinukil secara mutawatir, sehingga kepastiannya mutlak. Adapun hadis-hadis qudsi kebanyakan adalah khabar ahad, sehingga kepastiannya masih merupakan dugaan. Adakalanya hadis itu sahih, hasan, dan kadang-kadang dhaif.

4. Al-Quran dari Allah, baik lafaz mahupun maknanya. Hadis qudsi maknanya dari Allah dan lafaznya dari Rasulullah SAW.  Hadis qudsi ialah wahyu dalam makna, tetapi bukan dalam lafaz. Oleh sebab itu, menurut sebahagian besar ahli hadis, diperbolehkan meriwayatkan hadis qudsi dengan maknanya saja.

5. Membaca al-Quran merupakan ibadah, kerana itu ia dibaca dalam solat.  Firman Allah SWT maksudnya : “Maka, bacalah apa yang mudah bagimu dalam al-Quran itu.” (Surah al-Muzamil ayat 20).

Nilai ibadah membaca al-Quran juga terdapat dalam hadis, Nabi SAW bersabda maksudnya : “Barang siapa membaca satu huruf dari al-Quran, dia akan memperoleh satu kebaikan. Dan, kebaikan itu akan dibalas sepuluh kali lipat. Aku tidak mengatakan alif laam miim itu satu huruf. Tetapi alif satu huruf, laam satu huruf, dan miim satu huruf.”
(Hadis Riwayat Tirmizi dan Ibnu Mas’ud).

Adapun hadis qudsi tidak disuruh membacanya dalam solat. Allah memberikan pahala membaca hadis qudsi secara umum saja. Maka, membaca hadis qudsi tidak akan memperoleh pahala seperti yang disebutkan dalam hadis mengenai membaca al-Quran bahawa pada setiap huruf mendapatkan sepuluh kebaikan.
Perbezaan antara Hadis Nabawi dan Hadis Qudsi :

Hadis nabawi itu ada dua iaitu tauqifi dan taufiqi.

Pertama Tauqifi :
Yang bersifat tauqifi iaitu yang kandungannya diterima oleh Rasulullah SAW dari wahyu. Lalu, ia menjelaskan kepada manusia dengan kata-katanya sendiri. Bahagian ini meskipun kandungannya dinisbahkan kepada Allah, tetapi dari segi pembicaraan lebih layak dinisbahkan kepada Rasulullah SAW, sebab kata-kata itu dinisbahkan kepada yang mengatakannya meskipun di dalamnya terdapat makna yang diterima dari pihak lain.

Kedua Taufiqi.
Yang bersifat taufiqi iaitu yang disimpulkan oleh Rasulullah SAW menurut pemahamannya terhadap al-Quran, kerana ia mempunyai tugas menjelaskan al-Quran atau menyimpulkannya dengan pertimbangan dan ijtihad. Bahagian kesimpulan yang bersifat ijitihad ini diperkuat oleh wahyu jika ia benar. Dan, bila terdapat kesalahan di dalamnya, turunlah wahyu yang membetulkannya. Bahagian ini bukanlah kalam Allah secara pasti.

Dari sini, jelaslah bahawa hadis nabawi dengan kedua bahagiannya yang tauqifi atau yang taufiqi dengan ijtihad yang diakui dari wahyu itu bersumber dari wahyu. Inilah makna dari firman Allah tentang Rasul-Nya yang bermaksud : “Dia (Muhammad) tidak berbicara menurut hawa nafsunya. Apa yang diucapkannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diturunkan kepadanya.” (Surah an-Najm ayat  3–4).
Jenis-jenis hadis nabawi secara ringkasnya terbagi 5 jenis iaitu :

1. Hadis Mutawatir

2. Hadis Sahih

3. Hadis Hassan Sahih

4. Hadis Dhaif

5. Hadis Palsu.

1. Hadis Mutawatir :

Hadis Mutawatir ialah nas hadis yang diketahui/diriwayatkan oleh beberapa bilangan orang yang sampai menyampai perkhabaran (Al-Hadis) itu, dan telah pasti dan yakin bahawa mereka yang sampai menyampai tersebut tidak bermuafakat berdusta tentangnya. Ini kerana mustahil terdapat sekumpulan periwayat dengan jumlah yang besar melakukan dusta.

Hadis Mutawatir, iaitu hadis yang memiliki banyak sanad dan mustahil perawinya berdusta atas Nabi Muhammad SAW, sebab hadis itu diriwayatkan oleh banyak orang dan disampaikan kepada banyak orang. Contohnya, "Barangsiapa berdusta atas namaku dengan sengaja, maka tempatnya dalam neraka. " (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Ad Darimi, Abu Daud, Ibnu Majah, Tirmizi,. Abu Ha'nifah, Tabrani, dan Hakim).

Menurut para ulama hadis, hadis tersebut di atas diriwayatkan oleh lebih dari seratus orang sahabat Nabi dengan seratus sanad yang berlainan. Oleh sebab itu jumlah hadis Mutawatir tidak banyak. Keseluruhan daripada ayat-ayat al-Quran adalah mutawatir, manakala terdapat sebahagian hadis sahaja yang mutawatir. Hadis yang tidak mencukupi syarat-syarat mutawatir dikenali sebagai Hadis Ahad.

Hadis Mutawatir terbagi dua:

1. Mutawatir Lafzi, yakni perkataan Nabi,
2. Mutawatir Amali, yakni perbuatan Nabi.

 2. Hadis Sahih :

Hadis shahih adalah hadis yang sanad-nya bersambung sampai kepada Nabi SAW  seluruh periwayatnya adil dan dhabit, terhindar dari syadz (kejanggalan) dan ‘illat (penyakit). Ini adalah istilah paling tinggi dalam pernyataan kesahihan sesuatu hadis.

3. Hadis Hassan Sahih :

Hadis ini adalah hadis yang dinukilkan oleh orang yang adil yang kurang kuat ingatannya, yang muttasil (yang bersambung-sambung sanadnya) yang musnad jalan datangnya (sampai kepada Nabi SAW) yang tidak cacat dan tiada mempunyai keganjilan.

4. Hadis Dhaif :

Hadis dhaif adalah hadis yang tidak mencukupi syarat-syarat hadis sahih sebagaimana diterangkan melalui kajian para ulama hadis. Ini menjadikan hadis dhaif adalah hadis yang tidak dapat dipastikan adakah ia benar-benar bersumber daripada Rasulullah SAW. Para ulama hadis menegaskan bahawa hadis dhaif tidak digunakan dalam soal hukum-hakam dan aqidah.

5. Hadis Palsu :

Hadis palsu pula ialah hadis yang sememangnya rekaan dan disalah anggap sebagai hadis daripada Rasulullah SAW.

Hadis qudsi pula adalah  maknanya dari Allah, ia disampaikan kepada Rasulullah SAW melalui salah satu cara penuturan wahyu, sedang lafaznya dari Rasulullah SAW. Inilah pendapat yang kuat. Dinisbahkannya hadis qudsi kepada Allah SWT  adalah nisbah mengenai isinya, bukan nisbah mengenai lafaznya. Sebab, seandainya hadis qudsi itu lafaznya juga dari Allah, tidak ada lagi perbezaan antara hadis qudsi dan al-Quran, dan tentu pula gaya bahasanya menuntut untuk ditentang, serta membacanya pun akan dianggap ibadah.

Sahabat yang dimuliakan,
Semoga dengan penjelaskan di atas  secara ringkas jelaslah kepada kita apakah yang perbezaan di antara al-Quran, hadis qudsi dan hadis nabawi . Di harapkan kita sama-sama dapat memahami dan melaksanakan sumber utama rujukan dalam Islam iaitu al-Quran, hadis qudsi dan hadis nabawi dalam kehidupan kita.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku telah tinggalkan untuk kamu sekelian satu peninggalan yang selagi kamu berpegang-teguh dengannya maka selagi itulah kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu; Kitab Allah dan Sunnah NabiNya”. (Hadis riwayat Imam al-Hakim dari Ibnu ‘Abbas)

No comments:

Post a Comment