Monday 1 August 2011

Ramadhan Bulan Kemenangan

Alhamdulillah kita dipanjangkan umur oleh Allah s.w.t pada tahun ini untuk bersua kembali dengan bulan yang amat ditunggu-tunggu oleh seluruh penghuni langit dan bumi iaitu bulan Ramadhan. Pada bulan Ramadhan inilah segala pintu keampunan dan kerahmatan Allah s.w.t dibuka seluas-luasnya.
Bulan Ramadhan adalah bulan kemenangan kepada kebenaran ke atas kebatilan. Pada bulan ini kita diseru memperbanyakkan ibadat kepada Allah s.w.t. Di antara ibadat yang ditekankan oleh Rasulullah s.a.w ialah saling menasihati sesama muslim untuk kesejahteraan di dunia dan juga di akhir. Marilah wahai seluruh umat Islam Malaysia, kita berlumba-lumba untuk membaca sebanyak mungkin ayat-ayat Allah dan cuba memahami tuntutan Allah s.w.t serta melakukan muhasabah sejauh manakah kita melakukan usaha dalam melaksanakan segala arahan Allah s.w.t dan menjauhkan diri kita daripada terjerumus ke dalam kemungkaran bersama-sama golongan yang zalim.
Ketahuillah muslimim dan muslimat, antara kemungkaran yang besar ialah apabila undang-undang Allah S.W.T yang berteraskan keadilan ditinggalkan. Maka pada bulan Ramadhan ini, isikannya dengan ketaqwaan yang jitu berdasarkan ilmu dan kefahaman yang sebenar tentang Islam agar kita memiliki kekuatan untuk merobohkan kezaliman di negara ini.
Kita percaya dan yakin bahawa suatu hari nanti cahaya kebenaran akan terus terserlah mengatasi cahaya kegelapan. "Malam Itu Walaupun Terasa Panjang, Tetapi Fajar Akan Menyinsing Juga". Jadi, gunakanlah kesempatan bulan rahmat dan keampunan ini untuk memuhasabah diri kita untuk menilai samada kita telah menunaikan tanggungjawab kita sebagai muslim ataupun tidak.
Allah s.w.t pasti akan menganugerahkan kemenangan kepada hamba-hambaNya yang benar-benar ikhlas dan menyucikan diri mereka dari segala bentuk kejahatan dan kezaliman.
Allah s.w.t telah berfirman di dalam  surah at-Taubah ayat 40:
إِلاَّ تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُواْ ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لاَ تَحْزَنْ إِنَّ اللّهَ مَعَنَا فَأَنزَلَ اللّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُواْ السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.